SELAMAT DATANG TO MY
Rumah karya moh. ghufron cholid, anda bisa bertamasya sambil membaca semua karya dan bisa mengomentarinya dengan penuh perenungan dan berdasar selera masing-masing. Jangan lupa ngisi data kehadiran.Ok!

Rabu, 30 Maret 2011

BELAJAR PUISI JEPANG

PENGENALAN KEPADA HAIKU

Pengenalan

Haiku mulai muncul dalam kesusasteraan Jepun dalam tahun 1662. Seorang pakar haiku yang terkemuka pada masa itu ialah Matsuo Basho (1644-1694) yang mula menulis haikunya ketika berumur 18 tahun. Usaha untuk memperkenalkan haiku di luar Jepun telah dimulai pada awal abad ke-20. Dalam tahun 1905, sebuah antologi haiku dalam bahasa Perancis telah terbit. Dalam pada itu, haiku terus berkembang ke negera-negera Eropah yang lain, dan akhirnya ke Amerika Syarikat, Brazil dan tempat-tempat lain di negeri-negeri Amerika Latin. Menurut suatu laporan, pertandingan haiku telah berlangsung di Perancis seawal-awalnya pada tahun 1924, yang telah menarik 1000 orang peserta.

Haiku mulai terkenal selepas berakhirnya Perang Dunia Ke-2, khasnya di kalangan orang-orang Amerika. Sementara orang-orang Kanada juga menunjukkan minat yang mendalam terhadap haiku. Dalam bulan Januari 1992 dianggarkan sekurang-kurangnya lebih 100,000 orang dari 40 buah negara di seluruh dunia sudahpun menulis haiku dalam bahasa tempatan. Banyak persatuan haiku telah ditubuhkan. Antara yang terbesar ialah Persatuan-persatuan haiku kebangsaan Kanada, Amerika Syarikat, Colombia, Britain, Jerman, Netherland, Belgium, Italy, dan Romania.

Di Jepun sahaja terdapat lebih daripada 1268 jenis majalah haiku pada hari ini.

Apakah Haiku

Haiku ialah sajak pendek yang terdiri daripada 17 suku kata dalam patrun 5/7/5.
5 suku kata pada baris pertama
7 suku kata pada baris kedua
5 suku kata pada bari ketiga.

Memandangkan hanya boleh dikarang dengan jumlah perkataan yang terbatas, maka selain daripada patrun 5/7/5, terdapat juga patrun 5/5/5, 5/6/5, 5/7/4, 5/8/5. Malahan terdapat juga haiku yang patrun yang tidak seragam khususnya apabila ditulis dalam bahasa asing (selain bahasa Jepun).

Bentuk Rangkap
Haiku dalam bahasa Jepun pada asalnya ditulis sebaris tetapi apabila diterjemah atau ditulis dalam bahasa asing, termasuk bahasa Melayu, mengandungi tiga baris. Ia diterjemahkan atau ditulis sedemikian supaya dapat disusun dalam bentuk rangkap. Sebagai contohnya, haiku Basho mengenai musim bunga:
"Furu ike ya kawazu tobikomu mizu no oto"

Terjemahan Inggeris -

An old pond
a frog jumps in
the sound of water

Terjemahan Bahasa Malaysia -

Kolam nan tua
kodok terjun ke dalam
percikan air

Contoh lain, Nakamura Yutara, salah seorang penyair haiku menterjemahkan "Wochi-kochi ni taki no oto kiku wakaba kana" yang ditulis oleh Yosa Buson diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris menjadi -

Terjemahan Inggeris -

rom hither and yon
the sounds of a waterfall
bounce off young leaves

Terjemahan Bahasa Malaysia -

Di sana sini
bunyi air terjun, terdengar
dari dedaunan muda

Konvensi Haiku Dalam Bahasa Asing (Selain Jepun)

Disiplin berikut telah disarankan kepada penyair-penyair luar, jika hendak menulis haiku dalam bahasa masing-masing, iaitu:

a. Penggunaan baris - tiga baris
b. Suku kata - tidak perlu betul-betul terhad kepada 17 sukukata
(ertinya boleh saja kurang atau lebih sedikit)
c. Patrun - tidak perlu terpaksa menggunakan 5/7/5
(supaya bentuk moden atau gaya bebas boleh lahir)
d. Tanda musim (Kigoatau Kidai) - boleh atau boleh juga tidak.

(Hampir setengah dari semua haiku Jepun menyertakan kigo (perkataan bermusim) yang merujuk kepada keindahan alam, tumbuh-tumbuhan, cuaca dan alam sekitar).

Haiku Dalam Bahasa Malaysia

Haiku dalam bahasa Malaysia, bolehlah dikarang berpandukan kepada disiplin-disiplin yang telah diterangkan tadi, iaitu yang berasaskan kepada
penggunaan baris, suku kata, patrun, dan juga tanda musim. Di bawah ini disertakan beberapa contoh haiku:

Wangi Cempaka

Bunga cempaka
Bertaburan di bumi
Masih wangi.
(Oleh: ?)

Harum Chempaka

Harum Chempaka
Penghias Rindu Bonda
Luhur mulia.
(Oleh Tahrizi)

Haiku

Apakah Haiku?
Bonsai intelektual
Hablur cermin dunia
(Oleh Mohd. Affandi Hassan)

Bayu Hati

Bayu hatiku
Seganas ombak laut
Tak jemu ke pantai
(Oleh Tahrizi)

Bas Klang

Kejauhan diri
tanpa berjalan kaki
bas klang ku cari
(Oleh Tahrizi)

Demikianlah apa ada pada serangkap haiku. Yang panjang berjela-jela tidak berlaku pada haiku yang pendek tapi padat.

Apa ada pada serangkap haiku, hanya jauhari saja yang kenal manikamnya.
Selain daripada serangkap, haiku juga boleh ditulis berangkap, menjadikan ia sebuah sajak pendek yang lengkap:

Zikir Di Subuh Hari (i)

Kerdipan bintang
Simbahan cahya bulan
Berseri alam
Seruling bambu
Sayup berlagu syahdu
Menghimpun rindu
Lotus di kolam
Menari mempersona
Menyambut mimpi

Zikir Di Subuh Hari (ii)

Sepoi semilir
Berbisik di dedaun
Membelai mesra
Aku di sini
Berteman bulan bintang
Disapa bayu
Aku di sini
Sujud Syukur pada mu
Rabbul Izzati
(Kedua-dua haiku di atas adalah Dari Laman Kasturi)

Salam buat kast

Senja nan merah
melabuhkan langsirnya
dibibir magrib
camar yang pulang
menyongsong angin utara
kabus berdebu
di pinggir waktu
azam magrib bergema
menyambut malam
pagi yang subuh
terasing di bumi Mu
dalam rusuhan
meninggal keluh
di hujung kerinduan
menguncup sepi
duhai ilahi
kembalikan ruh ini
asal jadi ku.
Oleh: Muhammad74

Embun

Gulita maya
Dalam naungan subuh
Embun menitis
Satu persatu
Layu yang kini mekar
Nikmatmu embun
Oleh: kasturi

Perkembangan Haiku di Malaysia

Catatan menunjukkan haiku telah ditulis di Malaysia semenjak 1980-an lagi. Haiku Puan Azah Aziz banyak disiarkan dalam akhbar Berita Minggu pada masa tersebutr. Pertandingan menulis haiku bagi kanak-kanak sekolah telah mula dianjurkan oleh Japan Airlines (JAL) semenjak 1995. Sebuah buku kumpulan haiku dalam bahasa Melayu berjudul Cendera Kirana telah diterbitkan pada tahun 1994. Selain daripada itu, terdapat banyak penulis haiku yang berkarya melalui Internet.

Ciri-Ciri Haiku Yang Baik

Pada kebiasaannya, haiku menceritakan mengenai keindahan alam sekitar dan juga musim. Penulisan haiku juga biasanya disertakan dengan lakaran mudah sebagai iringan kepada kata-kata indah. Saya masih berpegang kepada struktur 5-7-5 adalah semestinya menjadi ciri kepada sebuah haiku yang baik.
Berikut ialah haiku karya Basho yang diterjemahkan oleh dua penyair barat, Blyth dan Beilenson:

Blyth:
Moonlight slants through
The vast bamboo grove:
A cuckoo cries
Ah, summer grasses!
All that remains
Of the warriors dreams.
Along this road
Goes no one;
This autumn evening.

Beilenson:
Moonlight slanting
through all this long bamboo grove
and nightingale song.
Here where a thousand
captains swore grand conquest
Tall grasses their monument.
By lonely roads
this lonely poet marches
into autumn dusk

Terjemahan Blyth dikatakan lebih menarik daripada terjemahan Beleinson namun Blyth tidak dapat mengekalkan format asal haiku 5-7-5.

Berikut adalah dua haiku dari dua pemenang Pertandingan Menulis Haiku Kanak-Kanak:

Bunga berkembang
Unggas terbang nan bebas
Damainya hati

Flowers are blooming
Insects are flying freely
My heart feels peaceful
(Oleh Aida Izzati Zainal Abidin, 7 tahun)

Luas terbentang
Hamparan nan menguning
Sawah padiku

Spread out far and wide
The harvest turning yellow
In my paddy field
(Oleh Selena Tee Hui Mingage, 11 Tahun)

Rujukan
Terdapat banyak bahan rujukan untuk menulis haiku, khususnya daripada laman web. Cara paling mudah ialah dengan memasukkan “haiku” dalam mana-mana enjin pencari.

Contoh-contoh Haiku dalam bahasa Melayu yang dipetik dari laman Web -

Kasturi:

Mentari rembang
Beburung terbang pulang
Aku pun jua

Sue_marie:

Teriring azan
Teja di kaki langit
Sujud pada Mu

Aku di sini
Dalam denyut zikirku
Hanya Kau SATU

Jebat99:

dalam bayangmu
ada senyum terukir
sendu bersuara

dalam jeling mu
ada rindu membara
dikamar hati

senja nan merah
melabuhkan langsirnya
dibibir magrib

camar yang pulang
menyongsong angin utara
kabus berdebu

di pinggir waktu
azam magrib bergema
menyambut malam

bangunlah angin
tiupkan gema rasa
dihujung atma

bangunlah sepi
hembuskan sesak hati
di kamar usang

bangunlah kasih
belaikan jiwa ini
dengan mistik mu

bangunlah diri
sebelum mati datang
di sisi rabb Nya

raymee:

di senja merah
dan para tamu datang
dibirai waktu

beduk berbunyi
memanggil para tamu
dan jalan pulang

dipersada senja
bertafakur sejenak
mengisi waktu

Gerimis Malam

Gerimis malam
Meliuk dedaun
Rembes beralun

Gerimis Malam
Melihat dalam kelam
Daun yang gugur

jebat99:

Titis
Air di kolam
Menari karp berpasang
Memercik basah
Bayu mengusap
Bening teriak air
Sepi menghuni
Hati nan kontang
Telah berkurun hujan
Penuhkan kolam
Basahlah hati
Tika terpercik air
Biar setitik

Lalang
Teja menghimpun
Di kaki langit kelabu
Bersepoi angin
Di padang sana
Lalang menari asyik
Bebunga terbang
Hinggap di merata
Ngarai atau pun limbah
Di mana saja
Aku tak mahu
Hidup yang sebegitu
Umpama lalang

Penafian:

Bahan-bahan untuk tulisan ini diperolehi dari pelbagai sumber, khususnya dari laman web yang kadangkala tidak jelas penulis atau sumber asalnya untuk dicatatkan penghargaan.

-MBA 2 Jun 2003; kemaskini 4 Jun 2003.

TIPS MENULIS HAIKU

1. 17 suku kata dalam 1 baris.
2. 17 suku kata dalam 3 baris.
3. 17 suku kata dalam 3 baris dibahagi kepada 5-7-5
4. 17 suku kata ditulis menegak (kiri, kanan atau tengah)
5. Kurang dari 17 suku kata ditulis dalam 3 baris, pendek-panjang-pendek
6. Kurang dari 17 suku kata ditulis menegak 3 baris, pendek-panjang-pendek
7. Tulis apa yang boleh dinyatakan dalam satu nafas.
8. Gunakan perkataan musim (kigo) atau merujuk kepada musim.
9. Gunakan untaian sajak di akhir baris pertama atau kedua, tapi bukan kedua-duanya.
10. Jangan sekali-kali menjadikan semua 3 baris untuk menyempurnakan atau menjadikannya ayat.

Nota: tips ini dikutip dari bahan-bahan di internet. Kadang-kadang diri sendiri juga tidak faham apa yang dimaksudkan, namun bolehlah bertanya, moga-moga kita sama-sama boleh belajar daripadanya. – damahuM:

11. Adakan dua imej yang berbandingan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: Dalam berehat/ Mencuci tungku hitam/ Ku basuh tangan.
12. Adakan dua imej yang berkaitan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: Suram cahaya/Tika bulan gerhana /Cantik wajahmu.
13. Adakan dua imej yang bertentangan apabila menerangkan imej ketiga. Contoh: dua biji tungku/tiada ruang bersentuhan/api kian marak
14. Hadkan penggunaan kata nama atau jenama khas.
15. Gunakan ganti nama dalam huruf kecil. Contoh: saya ialah…
16. Gunakan ayat yang berkaitan dalam kedua-dua rangkai kata.
17. Gunakan pecahan-pecahan ayat.
18. Jadikan baris terakhir sebagai kemuncak haiku anda.
19. Cari ayat paling menarik/menawan di baris pertama.
20. Tulis perkara biasa dalam cara biasa menggunakan bahasa biasa.
21. Gunakan hanya imej yang nyata, bukan abstrak. Ch. Lampu adalah nyata, terang cahayanya adalah abstrak.
22. Cipta ungkapan berlirik untuk imej.
23. Cuba adakan makna berganda. Sekali baca ia hanya imej mudah, yang tersirat adalah falsafah/pelajaran dalam kehidupan.
24. Gunakan imej yang membangkitkan kesederhanaan atau kepapaan yang sederhana. (sabi)
25. Gunakan imej yang membangkitkan elegen klasik yang tersendiri (shubumi)
26. Gunakan imej yang membangkitkan nostalgia romantik/tempat cantik (wabi)
27. Gunakan imej yang membangkitkan misteri bersendirian (Yugen)
28. Gunakan paradoks.
29. Tulis sesuatu yang mustahil dalam keadaan biasa.
30. Gunakan imej yang mulia (bukan perang, seks, atau jenayah).
31. Ceritakan seadanya perkara sebenar di sekeliling kita.
32. Gunakan hanya imej daripada alam sekitar (bukan perasaan manusia sahaja)
33. Campurkan alam sekitar dan perasaan manusia dengan cara menghubungkan perasaan manusia tyerhadap alam sekitar.
34. Elakkan merujuk kepada diri sendiri dalam haiku. (aku dsb)
35. Diri sendiri boleh dirujuk secara tidak langsung seperti “orang tua ini” atau “mamat itu”.

HAIKU, SENYRU, dan RENSAKU

HAIKU

Haiku ialah puisi Jepun yang terdiri daripada 17 suku kata dan biasanya ditulis 3 baris dalam bentuk 5-7-5 sukukata. Haiku tradisional menceritakan tentang musim dan alam sekitar. Haiku moden telah ditulis dalam pelbagai bahasa dan masih menggunakan patrun 5-7-5. Sungguhpun haiku ditulis dalam 3 baris, perlu diingat yang haiku mempunyai 2 bahagian memancarkan sedikit kaitan dan menambah makna kepada bahagian yang lain. Bahagian kedua haiku biasanya ialah pada baris terakhirnya. Namun begitu, garis pemisah antara bahagian pertama dengan kedua tidak begitu jelas dan tidak terhad kepada akhir baris kedua.

Haiku moden telah ditulis melampaui sempadan musim dan alam sekitar dan menceritakan tentang hubungan kita dalam dunia moden.
Sepertimana pantun yang boleh dikelaskan kepada pantun kanak-kanak, pantun nasihat, pantun jenaka dan sebagainya, haiku juga boleh dikelaskan begitu.

SENYRU

Senyru ialah haiku yang ditulis dalam pelbagai subjek. Ia tidak lagi tertakluk kepada musim dan alam sekitar. Senyru biasanya mendedahkan tentang hubungan manusia seperti cinta, perasaan, humour, dan sebagainya.

RENSAKU

Rensaku ialah satu siri haiku yang ditulis bertujuan untuk dibaca atau dinikmati sebagai sebuah puisi. Haiku-haiku ini hendaklah ditulis dengan tema yang sama.
Penutup: Kesemua haiku, senyru, dan rensaku ditulis dalam 5-7-5 suku kata.

TANKA

TANKA: Puisi Jepun tertua. Mempunyai 5 baris, dengan 5-7-5-7-7 suku kata. Baris kadangkala dikenali dengan pendek-panjang-pendek-panjang-panjang. Jika anda kenal haiku (5-7-5), anda sudah kenali setengah dari tanka. Tidak seperti haiku, tanka menggalakkan ...perasaan dan emosi...

Perbezaan Antara Tanka (T) Dengan Haiku (H)
1. Tujuan.
T: Keindahan
H: Seadanya

2. Panjang
T: 31 suku kata
H: 17 suku kata

3. Sifat
T:Feminin H: maskulin
T:Berlirik H: sepotong/sepatah-sepatah

4. Latar belakang sosial
T:Atasan H: pedagang/bawahan
T:kesusasteraan H: sebutan harian/mainan

5. Teknik
T: Untuk menikmati keindahan/kecantikan
H:Untuk buka hati/perasaan

T:berkias maksud
H:langsung dan cepat

T:beremosi
H:Tanpa emosi

T: Guna imaginasi
H: deria dengan baris konkrit

T:Ditulis berdasarkan suatu tema
H:berdasarkan satu pengalaman

T: 5 baris
H: 3 baris

T:Boleh/untuk dilagukan
H:cakap/deklamasi

6. Bahasa
T:Bahasa tradisional terhad
H:bahasa biasa

T:Perbendaharaan kata yg. diterima umum (kamus dll.)
H:Bahasa biasa/pasar

T:elegen
H:idea luar biasa

7. Kaedah
T: Refleksi, renungan, tafsiran
H: seadanya



• Nota & Forum > ASAS HAIKU disumbangkan pada Rabu, 27 Jun 2007 10:41:10 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 28 Jun 2007 3:27:03 PM oleh Rudy_bluehikari
Sumber http://esastera.com/komuniti/forum.asp?c=1&ID=178

Tidak ada komentar: