Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com
Foto ROY AZIS ABD. AZIZ
Pemangku Raja Perak,Raja Dr. Nazrin
Shah bersalaman dengan para delegasi ketika merasmikan majlis penutup
Kongres Penyair Sedunia ke-33 di Arena Square, Pulau Pangkor, Perak.
KONGRES Penyair Sedunia (WCP) ke-33 yang julung
kali diadakan di negara ini menyaksikan penyertaan lebih 200 penyair
dari 32 negara. Ini satu catatan bersejarah bagi acara tahun yang
menjangkau kali ke 33.
Acara anjuran Akademi Seni dan Budaya Dunia (WAAC) dengan kerjasama
Institut Darul Ridzuan (IDR) dan kerajaan negeri Perak berlangsung
selama enam hari sejak 21 Oktober di Ipoh dan Pulau Pangkor.
Kongres tersebut diakhiri dengan malam gala WCP yang
gemilang-gemilang dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu. Acara itu
diserikan lagi dengan keberangkatan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin
Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.
Kongres puisi ini secara tidak langsung menonjolkan nama Malaysia
sebagai negara yang bukan sahaja berkembang maju dari aspek fizikal
malah turut membangun kegiatan kebudayaan dan kesusasteraan. Acara
pertama di negara ini meninggalkan kenangan manis kepada para peserta
untuk melihat sendiri pembangunan Malaysia dan kegiatan
kesusasteraannya.
Sebelum ini Malaysia telah banyak kali berjaya sebagai penganjur
acara bertaraf antarabangsa, tidak kira sama ada dalam bidang sukan,
persidangan Islam dan juga ekonomi. Kini bertambah satu lagi pencapaian
Malaysia dalam kesusasteraan.
Menghimpunkan penyair-penyair besar dari seluruh dunia bukan suatu
yang mudah. Tetapi kesungguhan penganjur untuk menonjolkan nama Malaysia
dalam bidang kesusasteraan akhirnya dibuktikan dengan hasil daripada
acara ini.
Penyelaras WCP, Malim Ghozali PK berkata, selain menjadi penganjuran
terbaik, objektif WCP kali ini adalah mewujudkan pertembungan serta
pertukaran fikiran antara para penyair tempatan dan luar negara.
"Kita dapat satu peluang yang besar dalam penganjuran WCP di sini.
Selain dapat memperaga dan mempersembahkan karya-karya terbaik kita
kepada orang luar, pertukaran karya-karya juga dapat dilakukan,"
demikian tegas Malim yang juga seorang penyair tersohor negara ini.
Baginya, sekiranya mahu karya kita dikenali di peringkat
antarabangsa, ini adalah salah satu daripada pendekatannya. Penganjuran
WCP memperlihatkan kesannya apabila karya-karya kita yang selama ini
banyak berlegar di dalam negara sudah dapat menjengah ke dunia
antarabangsa.
Malim percaya karya tempatan yang dibawa ke luar negara dan akan
dibaca di sana, bukan itu sahaja karya tempatan kita akan diterjemahkan
dalam lain-lain bahasa dan malah akan menjadi sasterawan antarabangsa.
Selain itu, penganjuran WCP ini juga dilihat turut berjaya mencapai
matlamat untuk menyuburkan persaudaraan dan keamanan sedunia melalui
syair dan puisi.
Bertemakan Satu Dunia Menerusi Puisi, kongres ini yang berjaya
mengumpulkan lebih lebih ramai orang penyair daripada penganjuran
sebelumnya itu mencatatkan sejarah sebagai acara antarabangsa paling
banyak disertai oleh negara luar yang pernah diadakan. Penyertaan yang
besar ini membuktikan puisi mampu memainkan peranan sebagai wadah
mengukuhkan persahabatan sejagat.
Penyair dari seluruh dunia bukan sahaja sebagai pejuang sastera malah
sentiasa berpegang teguh kepada kebenaran dan berani meluahkan melalui
karya berbentuk sajak, pantun dan syair.
Pada majlis penutup WCP kali ini, beberapa peserta WCP memukau tetamu
hadir dengan dekmalasi puisi dalam bahasa ibunda masing-masing.
Dalam masa yang sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir
yang juga merupakan seorang penyair turut mendeklamasikan puisi bertajuk
Ayahku sebagai memperingati bapa tirinya yang kembali menemui Ilahi
pada 5 Jun lalu.
Majlis penutup telah disempurnakan Raja Dr Nazrin bersama Dr Zambry
dengan penyerahan bendera WCP kepada tuan rumah yang akan datang, iaitu
Peru. Majlis penutup WCP ke-33 itu diadakan serentak dengan perasmian
Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) ke-4.
Sepanjang seminggu berlangsungnya kongres itu, peserta telah dibawa
melawat beberapa tapak peninggalan sejarah penting negara ini yang
terletak di Perak seperti Lenggong, Kuala Sepetang, Gua Tempurung, dan
Batu Gajah dan Pulau Pangkor.
Sepanjang kongres tersebut sebanyak 134 hasil karya sasterawan
tersohor dari seluruh dunia telah dipersembahkan kepada peserta dan
puisi-puisi itu dibukukan dalam Anthology of the 33rd World Congress of
Poets.
Sementara itu, penyair Moh Ghufron Cholid dari Indonesia ketika
ditemui berkata, kehadirannya di sebuah negeri di Malaysia untuk
menjayakan kongres puisi ini memberi pengalaman yang sangat bermakna.
Dengan menyertai WCP, dia boleh berkongsi karya bersama para penyair dari seluruh dunia sambil bertukar-tukar fikiran.
"Budaya di Perak dari pemerhatian saya lain daripada yang saya
bayangkan selama ini kerana budaya di sini lebih asli dan penuh dengan
pelbagai," katanya.
Bagi penyair tempatan, Salmiah Ismail, Kongres Penyair Sedunia adalah
satu peluang besar bagi penyair negara ini berkembang khususnya di
Perak sendiri.
"Pengalaman bersama mereka memberi kesan yang sangat baik dan boleh
berkongsi ilmu. Walaupun melihat ada sedikit kekurangan dari segi
pengurusan acara sempena WCP, Salmiah berkata, ia dapat diterima kerana
ini kali pertama sekretariat tempatan menguruskan kongres sebesar WCP.
"Ini kerana saya lihat kebanyakan petugas adalah orang muda dan ini
harus diambil peluang untuk menimba ilmu bersama orang lama baik dari
segi pengurusan mahupun dalam bidang sastera ini.
"WCP banyak memberi pengalaman kepada saya mengenali sendiri karya
dari luar iaitu mungkin selama ini kita hanya mendengar nama mereka.
Cuma dari pengamatan saya seharus ada terjemahan karya mereka, sama ada
dalam Bahasa Melayu dan Inggeris," ujarnya.