Acara anjuran Akademi Seni dan Budaya Dunia (WAAC) dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan (IDR) dan kerajaan negeri Perak berlangsung selama enam hari sejak 21 Oktober di Ipoh dan Pulau Pangkor.
Kongres tersebut diakhiri dengan malam gala WCP yang gemilang-gemilang dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu. Acara itu diserikan lagi dengan keberangkatan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.
Kongres puisi ini secara tidak langsung menonjolkan nama Malaysia sebagai negara yang bukan sahaja berkembang maju dari aspek fizikal malah turut membangun kegiatan kebudayaan dan kesusasteraan. Acara pertama di negara ini meninggalkan kenangan manis kepada para peserta untuk melihat sendiri pembangunan Malaysia dan kegiatan kesusasteraannya.
Sebelum ini Malaysia telah banyak kali berjaya sebagai penganjur acara bertaraf antarabangsa, tidak kira sama ada dalam bidang sukan, persidangan Islam dan juga ekonomi. Kini bertambah satu lagi pencapaian Malaysia dalam kesusasteraan.
Menghimpunkan penyair-penyair besar dari seluruh dunia bukan suatu yang mudah. Tetapi kesungguhan penganjur untuk menonjolkan nama Malaysia dalam bidang kesusasteraan akhirnya dibuktikan dengan hasil daripada acara ini.
Penyelaras WCP, Malim Ghozali PK berkata, selain menjadi penganjuran terbaik, objektif WCP kali ini adalah mewujudkan pertembungan serta pertukaran fikiran antara para penyair tempatan dan luar negara.
"Kita dapat satu peluang yang besar dalam penganjuran WCP di sini. Selain dapat memperaga dan mempersembahkan karya-karya terbaik kita kepada orang luar, pertukaran karya-karya juga dapat dilakukan," demikian tegas Malim yang juga seorang penyair tersohor negara ini.
Baginya, sekiranya mahu karya kita dikenali di peringkat antarabangsa, ini adalah salah satu daripada pendekatannya. Penganjuran WCP memperlihatkan kesannya apabila karya-karya kita yang selama ini banyak berlegar di dalam negara sudah dapat menjengah ke dunia antarabangsa.
Malim percaya karya tempatan yang dibawa ke luar negara dan akan dibaca di sana, bukan itu sahaja karya tempatan kita akan diterjemahkan dalam lain-lain bahasa dan malah akan menjadi sasterawan antarabangsa.
Selain itu, penganjuran WCP ini juga dilihat turut berjaya mencapai matlamat untuk menyuburkan persaudaraan dan keamanan sedunia melalui syair dan puisi.
Bertemakan Satu Dunia Menerusi Puisi, kongres ini yang berjaya mengumpulkan lebih lebih ramai orang penyair daripada penganjuran sebelumnya itu mencatatkan sejarah sebagai acara antarabangsa paling banyak disertai oleh negara luar yang pernah diadakan. Penyertaan yang besar ini membuktikan puisi mampu memainkan peranan sebagai wadah mengukuhkan persahabatan sejagat.
Penyair dari seluruh dunia bukan sahaja sebagai pejuang sastera malah sentiasa berpegang teguh kepada kebenaran dan berani meluahkan melalui karya berbentuk sajak, pantun dan syair.
Pada majlis penutup WCP kali ini, beberapa peserta WCP memukau tetamu hadir dengan dekmalasi puisi dalam bahasa ibunda masing-masing.
Dalam masa yang sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang juga merupakan seorang penyair turut mendeklamasikan puisi bertajuk Ayahku sebagai memperingati bapa tirinya yang kembali menemui Ilahi pada 5 Jun lalu.
Majlis penutup telah disempurnakan Raja Dr Nazrin bersama Dr Zambry dengan penyerahan bendera WCP kepada tuan rumah yang akan datang, iaitu Peru. Majlis penutup WCP ke-33 itu diadakan serentak dengan perasmian Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) ke-4.
Sepanjang seminggu berlangsungnya kongres itu, peserta telah dibawa melawat beberapa tapak peninggalan sejarah penting negara ini yang terletak di Perak seperti Lenggong, Kuala Sepetang, Gua Tempurung, dan Batu Gajah dan Pulau Pangkor.
Sepanjang kongres tersebut sebanyak 134 hasil karya sasterawan tersohor dari seluruh dunia telah dipersembahkan kepada peserta dan puisi-puisi itu dibukukan dalam Anthology of the 33rd World Congress of Poets.
Sementara itu, penyair Moh Ghufron Cholid dari Indonesia ketika ditemui berkata, kehadirannya di sebuah negeri di Malaysia untuk menjayakan kongres puisi ini memberi pengalaman yang sangat bermakna.
Dengan menyertai WCP, dia boleh berkongsi karya bersama para penyair dari seluruh dunia sambil bertukar-tukar fikiran.
"Budaya di Perak dari pemerhatian saya lain daripada yang saya bayangkan selama ini kerana budaya di sini lebih asli dan penuh dengan pelbagai," katanya.
Bagi penyair tempatan, Salmiah Ismail, Kongres Penyair Sedunia adalah satu peluang besar bagi penyair negara ini berkembang khususnya di Perak sendiri.
"Pengalaman bersama mereka memberi kesan yang sangat baik dan boleh berkongsi ilmu. Walaupun melihat ada sedikit kekurangan dari segi pengurusan acara sempena WCP, Salmiah berkata, ia dapat diterima kerana ini kali pertama sekretariat tempatan menguruskan kongres sebesar WCP.
"Ini kerana saya lihat kebanyakan petugas adalah orang muda dan ini harus diambil peluang untuk menimba ilmu bersama orang lama baik dari segi pengurusan mahupun dalam bidang sastera ini.
"WCP banyak memberi pengalaman kepada saya mengenali sendiri karya dari luar iaitu mungkin selama ini kita hanya mendengar nama mereka. Cuma dari pengamatan saya seharus ada terjemahan karya mereka, sama ada dalam Bahasa Melayu dan Inggeris," ujarnya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sastera/20131110/sa_03/Kongres-menyatukan-penyair#ixzz3LJbsA3i9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tidak ada komentar:
Posting Komentar